KELU sekejap lidah ini tatkala saya melangkah masuk ke Dewan Tayangan 1 di TGV di KLCC, pada pertengahan minggu lalu. Semuanya kerana saya hendak merasa karipap Melia Aimelia. Resipi karipap itu cuba diadun Othman Hasfam khas buat Melia dan pasangannya Gambit Saifullah.
Kelu saya tadi bukan kerana karipap itu terlalu sedap atau sudah ‘sold out’, sebaliknya mengira jumlah penonton termasuk diri saya sendiri iaitu hanya empat orang!
“Biaq betoi (biar betul). Kita salah panggung kot?” bisik saya kepada sahab
at yang menemani bagi waktu tayangan 9 malam itu.
Selepas membelek-belek keratan tiket sekali lagi dalam cahaya yang samar-samar, tidak salahlah memang itu dewan tayangan bagi Karipap-Karipap Cinta.
Apa lagi hendak dikata. Ketika itu saja, gugur 70 peratus semangat tontonan saya tetapi saya tetap memujuk di dalam hati, jangan putus asa. Belum tengok belum tahu. Peduli apa. Terasa juga macam VVIP sekejap sebab sebuah tayangan filem dibuat bagi empat penonton saja. Mana nak dapat. Namun itu berlaku dengan kuasa Wajib Tayang.
Sejak bersekolah lagi saya sudah didedahkan dengan Hafsham. Filem arahannya yang
pertama, Adik Manja saya tonton dua kali di Panggung Empire, Alor Setar.
Filem seterusnya, Mekanik juga saya tonton juga dua kali di Panggung Cathay, juga di Alor Setar. Ironinya, kedua-dua panggung itu sudah tidak wujud lagi sekarang tetapi othman Hafsham masih lagi di sini.
Seingat saya dulu, untuk menonton Adik Manja dan Mekanik, kami terpaksa membeli tiket ‘black market’ (ulat wayang). Harganya jauh lebih cekik darah tetapi memang itu ‘trend’ yang berlaku kalau filem ‘box-office’. Ketika itu riuh panggung ketawa melihat setiap babak yang dipaparkan.
Muncul kelibat Adibah Amin sebagai Cikgu Bedah dalam Adik Manja, orang sudah ketawa berdekah-dekah. Begitu juga dengan Mekanik apabila babak Syamil (Azmil Mustapha) terpaksa mencuri coli dan baju perempuan untuk menyamar di sebuah gedung beli-belah.
Namun keseronokan itu semua saya tidak nampak lagi dalam Karipap-Karipap Cinta. Ada sekali dua saya tergelak kecil, saya hanya mampu mendengar suara saya sendiri di dalam sebuah panggung yang sepi itu. Lebih menyedihkan, ada dua kali rakan saya menggerakkan saya, “Eh, ‘you’ ni lelap ke?”
Mungkin apabila terbaca coretan saya ini, Hafsham akan berasa sedih. Saya tidak berniat memburukkan karyanya itu tetapi inilah realiti yang tidak dapat saya sembunyikan lagi. Apa yang saya tonton itu bukan tayangan tertutup, sebaliknya tayangan umum dan saya juga membeli tiketnya.
Saya juga bukan hendak membuat ulasan Karipap-Karipap Cinta melalui ruangan yang terhad ini. Cukuplah saya katakan ia filem komedi romantis yang sedang-sedang saja. Lakonan Gambit tiada yang hebat sangat dan begitu juga Melia. Seperti yang dijangka, Eman Manan lebih mencuri perhatian.
Ia antara lain mengenai budak lelaki biasa yang jatuh cinta dengan graduan Universiti Al-Azhar. Namun saya tidak nampak sangat pun ciri-ciri Sarah yang kononnya antara 10 pelajar terbaik lulusan universiti itu.
Hafsham bagaimanapun masih kuat memegang tradisi 1Malaysia kerana begitulah corak filem komedinya sebelum ini. Cuma bezanya inilah kali pertama Hafsham memindahkan karya sebuah novel yang dijolok terlaris ke plaform filem cereka pula.
Cuma saya tertanya-tanya, di mana penyokong novel yang dikatakan terlaris itu? Senaskhah novel itu masih lagi ada di atas meja kerana belum sempat-sempat baca tetapi adakah semua peminat novel itu keluar beramai-ramai membeli tiket? Saya tidak pasti sama ada sepasang lagi manusia yang duduk di bahagian belakang itu adalah peminat novel itu atau tidak.
Apa yang dapat saya katakan, sangat susah untuk kita menjangkakan apa yang penonton suka. Adakah aura Gambit dan Melia belum cukup kuat? Apakah tema filem itu sendiri tidak cukup kukuh untuk menarik minat masyarakat untuk menontonnya, sekali gus menjadi satu bentuk promosi ‘mulut ke mulut’?
Lebih penting lagi, apakah Hafsham sendiri sudah mula hilang taring berbisanya?
Seperti yang saya katakan, saya pergi menonton Karipap-Karipap Cinta kerana Othman Hafsham. Namun saya terpaksa menerima apa yang saya lihat di TGV, KLCC itu sebagai sesuatu yang mengecewakan diri ini. Di mana penonton lain?
Saya akui saya juga sempat menonton sebuah lagi filem, Hantu Bonceng di pawagam tempoh hari. Memang ia padat dengan penonton kerana filem itu antara lain turut didedikasikan kepada Mat-Mat Rempit di luar sana. Kita sendiri tahu betapa ramai jumlah Mat Motor dan Mat Rempit yang ada. Jadi Ahmad Idham nampaknya semacam tahu kelompok sasaran untuk filem arahan dan terbitannya itu yang disuntik pula elemen seram, bohsia jadi hantu!
p/s : Artikel ini dipetik dari surat khabar metro oleh Roslen Fadzil
Namun ia tidak sekali-kali bermakna Hantu Bonceng filem terbaik di pasaran tetapi sekurang-kurangnya filem yang popular untuk tujuan bisnes. Saya sedih apabila Karipap-Karipap Cinta hanya mampu meraih kutipan RM200,000 saja setakat ini. Saya amat berharap Hafsham dan pasukan produksinya akan benar-benar membuat post-mortem untuk filem arahannya itu
No comments:
Post a Comment