Wednesday, April 11, 2012

Rahsia Jodoh Saya =)


Melihat kebahagiaan manusia lain dengan apa adanya pada diri kita itu adalah sangat bahagia. Namun pada ketika melihat kebahagiaan orang lain dengan diam-diam melihat segala kekurangan diri sendiri, itu adalah muara segala kepedihan.

Di muara itu, pedih itu akan mengalir perlahan-lahan, lesu tapi pasti ke hulu hati. Dan inilah kisahnya, kisah bagaimana saya akhirnya menegadahkan wajah pada yang namanya bahagia yang pedih.

Tahun akhir.

Tahun terakhir di universiti menjadikan saya perempuan yang kurang terkendali. Tugasan akhir perlu dihantar, harapan ibu bapa juga perlu dijunjung, namun paling membuat saya terjerembap pada namanya pedih, adalah kata-kata mitos yang entah siapa menciptanya.

Kata mereka, "Sekiranya kamu sudah berada pada tahun akhir, tetapi kamu belum punya buah hati, kamu akan sulit mencari jodoh."

Saya tahu itu mitos, namun tetap sahaja ia mengganggu hati pada ketika mata mahu pejam. Ia seperti nyamuk yang lapar dan menyangka telinga kita adalah tempat meluahkan rasa laparnya.

Saya cuba sabarkan diri, cuba penuhkan waktu dengan segala jenis kesibukan yang saya tahu, namun tetap sahaja kata-kata mitos itu berdatangan masuk ke dalam hati. Jelas, hati saya masih ada celah-celah yang tidak saya ikat rapat-rapat, walaupun sudah segenap usaha saya mencuba.

Bertanya juga saya dalam hati, "Mengapa tidak ada yang mengutuskan surat cinta?"

Untuk pertanyaan itu sering saya jawab dengan penuh rasa rendah diri, "Saya bukan perempuan yang cantik."

Yang bertambah merisaukan saya adalah pada hari itu, pada ketika saya mahu menyedapkan hati, mahu berkata cinta sebelum nikah itu haram lalu saya bertanya kepada teman sebilik saya yang tinggi ilmunya.

"Kamu tidak fikir cinta sebelum nikah itu haram?"

Dalam tersenyum dia menjawab, "Bercinta tidak haram, yang haram adalah zina. Jadi sekiranya cinta kamu itu mendekatkan kamu kepada zina, kamu boleh fikirkan sendiri hukumnya, dan kamu sendiri tahu menyusun keutamaannya. Jangan salahkan cinta tetapi salahkan diri kamu sendiri. Nabi Muhammad saw sendiri tidak membantah orang bercinta tetapi cinta itu perlu berakhir dengan perkahwinan kerana hanya itu ubatnya cinta.

Seperti kisah seorang gadis yatim yang dipinang oleh dua lelaki. Seorang miskin dan seorang kaya. Gadis tadi memilih lelaki miskin tadi atas dasar cinta sedangkan penjaganya memilih lelaki kaya tadi. Apabila perkara itu diajukan kepada Rasulullah, beliau bersabda, 'Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah". Ini hadis sahih riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Majah."

Itu jawapan yang saya pegang bersama dengan runsing pada mitos yang saya tidak tahu di mana benarnya. Mujur juga, teman sebilik saya yang cantik, alim dan bijak itu tidak ada teman lelaki. Keadaan itu melegakan hati saya kerana saya tahu, saya tidak sendiri.

Yang paling melegakan saya adalah bicaranya. Katanya, "Jodoh, mati dan rezeki itu rahsia Allah. Yang namanya rahsia itu, sekiranya kita cari pun betul, sekiranya kita menunggu pun tidak salah kerana ia rahsia. Kita tidak tahu bila datangnya jodoh itu, sama ada ia datang pada waktu kita mencari ataupun pada waktu kita menunggu. Apa yang boleh kita lakukan adalah, lengkapkan diri kita menjadi perempuan yang baik. Perempuan yang taat pada suruhan Allah. Kerana ada waktunya nanti, Allah akan datangkan petunjuknya, sama ada kita perlu mencari ataupun kita perlu menunggu."

Lalu berdoa sahajalah yang dapat saya lakukan, dan akhirnya, seperti doa dalam diam saya dijawab Tuhan, dan pada hari itu saya menemukan lelaki ini, lelaki yang membuatkan mitos itu kabur daripada hati saya.

Lelaki.

Dia rakan sekuliah, dan dia seorang yang sangat tekun belajar dan dia cuma kalah tekunnya kepada rakan karibnya sendiri. Markah peperiksaan dia tidak pernah gagal mendapat B ke atas. Pada wajah dia, semua sepakat mengakui, jelas sinar kejayaan di situ. Saya juga melihat perkara itu dan saya akui dalam tidak sedar, hati saya mula terpaut kepada dia.

Namun, perempuan tetaplah perempuan. Malu itu adalah perkara nombor satu. Malahan dengan kacak wajah lelaki itu, saya sangat yakin, setidak-tidaknya dia sudah punya kekasih yang akan diajaknya bernikah usai menerima ijazah.

Itu yang saya yakin sehinggalah pada hari itu, selepas peperiksaan terakhir, pada ketika di luar dewan peperiksaan masih riuh dengan gelak tawa, dia datang kepada saya.

"Saya tidak pandai berkata-kata dan saya masih malu," ucap dia yang pertama, membuat saya terhairan-hairan.

"Jadi?"

"Begini, biar saya berterus-terang." Lelaki itu menggaru-garu dahinya yang saya tahu tidak gatal, tetapi gaya itu membuatkan saya semakin tertanya-tanya.

"Begini...." Pada ayat itu juga dia berhenti dan kembali tunduk.

Saya hanya melihat jam, dan apabila melihat saya begitu, wajahnya terlihat risau.

"Begini...."

"Apa yang begini?" soal saya segera.

"Begini, saya bertanya kepada ibu saya, bagaimana saya mahu mencari perempuan yang baik untuk saya nikahi. Ibu saya menjawab, saya tidak perlu risaukan berkenaan perkara itu. Perkara yang perlu saya risaukan adalah diri saya sendiri. Saya perlu menjadi lelaki yang baik dan pada ketika itu persoalan 'bagaimana mencari perempuan baik' akan selesai dengan sendirinya," jelas dia panjang.

"Jadi?" soal saya lagi dengan hati yang sudah berdegup kencang.

"Jadi, saya fikir, dalam empat tahun di sini saya sudah berusaha sebaik mungkin menjadi lelaki terbaik, dan saya fikir, lelaki yang baik bukan lelaki yang sekadar menanti jodohnya, tetapi adalah lelaki yang juga mencari, dan itulah yang saya mahu beritahu," jawab dia dengan tergagap-gagap.

Mendengarkan itu pipi saya menjadi merah. Apa maksud dia? Mengapa tiba-tiba dia berkata begitu kepada saya? Takkan dia.... Tiba-tiba saya berasa saya menjadi perempuan yang sangat bertuah.

"Jadi, saya minta tolong awak, tolong hantarkan surat ini kepada rakan sebilik awak," kata dia lalu menghulurkan surat bersampul biru muda kepada saya, dan terus rasa bertuah saya hilang entah ke mana, dan terus sahaja merah pipi saya bertambah hangat.

"Sebelum awak salah anggap, ia bukan surat cinta, tetapi ia adalah surat izin mahu berjumpa ayahnya. Jadi saya harap awak tidak anggap saya ini lelaki yang sekadar bermulut manis," jelas dia dengan bersungguh-sungguh.

Saya tahu, pedih saya sudah bermula. Teman yang membuatkan saya selesa itu juga sudah menerima surat cinta, dan saya? Tetapi saya tetap bahagia kerana teman baik saya itu mendapatkan lelaki yang mendengar kata-kata ibunya, lelaki yang cerah masa hadapannya. Saya bahagia tetapi tetap sahaja ia bahagia yang pedih.

Lalu pada ketika saya memberikan surat sampul biru muda kepada teman sebilik saya, dia berkata, "Sebenarnya, kamu juga mendapat surat yang sama daripada rakan karib lelaki itu. Kamu sangat bertuah." Lantas dia menghulurkan satu sampul surat putih kepada saya.

Pada sampul surat putih di tangan saya itu, saya tahu seperkara, apapun isinya, ia adalah petunjuk kepada rahsia jodoh saya.


Hasil Tulisan Encik Baharuddin Bekri.Merupakan seorang penulis Novel Motivasi.

No comments:

Menarik ? Sila tinggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...